Corat-coret dari Dewan Negara

Corat-coret dari Dewan Negara

Biduk pincalang anak orang Tiku
Bersama-sama pergi menjala
Bersilang kayu di dalam tungku
Di sana api maka menyala

SEWAKTU memberi “ucapan dara” (maiden speech) di Dewan Negara Rabu lalu, Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Senator Dr. Syed Husin Ali, antara lain berkata: “Sebenarnya saya agak keberatan untuk menerima bila nama saya dicadangkan sebagai Ahli Dewan Negara kerana dewan ini terkenal sebagai rubber stamp.”

Ucapan senator baru dari pembangkang ini disambut oleh senator-senator lama di barisan kerajaan dengan senyuman sinis.

Di luar dewan, sindiran berlanjutan apabila seorang senator secara bergurau berkata kepada Syed Husin: “Selamat menjadi Ahli Dewan Negara. Kami mengalu-alukan Tuan Syed menjadi sebahagian institusi rubber stamp ini.”

Entah kerana kerap disindir atau apa sahaja alasannya, Syed Husin pada hari terakhir persidangan membuat sedikit pembetulan terbuka tentang anggapannya terhadap imej Dewan Negara.

Katanya, setelah hampir seminggu mengikuti persidangan dan mendengar ahli-ahli berbahas, pandangannya agak berubah.

“Saya mengakui kesungguhan Ahli Dewan Negara berbahas dan mempertahankan pendapat. Maka imej rubber stamp tidaklah tepat untuk para senator sekalian,” katanya sambil disambut dengan tepukan meja oleh barisan penyokong kerajaan.

Mendengar “pengakuan” Syed Husin, ramai yang bangun mencelah dan menyatakan agar kenyataan itu turut diberitahu oleh Syed Husin kepada rakan-rakannya di pihak pembangkang. Antaranya, Lim Kit Siang agar tidak terus menuduh dan memperlekehkan Dewan Negara sebagai tempat rubber stamp.

Syed Husin seakan-akan berada dalam keadaan serba salah dan seperti terdesak kerana terlajak memberi “bola tanggung” kepada senator-senator penyokong BN itu.

Lalu cepat-cepat beliau menangkis: “Saya menghargai kesungguhan semua ahli. Namun saya tetap beranggapan Dewan Negara ini sebagai masih tetap rubber stamp berbanding Dewan Senat, Amerika Syarikat atau House of Lords di Parlimen Westminster.”

Katanya, beliau hanya memuji ahli-ahli Dewan Negara yang berhemah tinggi, tidak ponteng seperti ahli-ahli Dewan Rakyat dan ada yang berani mengkritik sehingga mencadangkan supaya menteri-menteri tertentu meletakkan jawatan daripada Kabinet.

Selain itu, barangkali yang turut memberi kesan positif kepada Syed Husin ialah kesungguhan sesetengah senator membuat home work untuk berbahas, sama ada pihak penyokong BN atau pembangkang.

Perihal ahli-ahli Dewan Rakyat ramai yang ponteng hingga Belanjawan 2010 lulus dengan majoriti tipis awal minggu lalu, memang menjadi bualan sinis di kalangan ahliahli Dewan Negara.

Begitu juga dengan kebiasaan sesetengah menteri yang menyerahkan urusan Dewan Negara kepada timbalan-timbalan mereka.

Ia beberapa kali dikritik sehingga ada senator BN yang mencadangkan supaya menteri-menteri tertentu ini meletakkan jawatan kerana enggan hadir ke Dewan Negara, seolah-olah menganggap Dewan Negara tidak penting langsung.

Turut menjadi rungutan ahli-ahli Dewan Negara ialah masa bersidang yang terlalu pendek dari segi bilangan hari. Keterbatasan itu menyebabkan sudah beberapa kali sidang Dewan Negara terpaksa diperpanjangkan hingga lewat malam.

Mereka berhujah, daripada memanjangkan “jam persidangan” hingga ke lewat malam lebih baik ditambah “hari persidangan” agar perbahasan dapat berjalan semasa para senator masih segar “tubuh badan” dan “akal fikiran”.

Barangkali itulah yang dimaksudkan oleh Syed Husin bahawa sebagai satu struktur atau sub sistem dalam politik dan perundangan negara, masih banyak yang perlu diperbaiki mengenai Dewan Negara.

Penambahbaikan juga dituntut oleh senator-senator penyokong BN itu patutlah mengambil kira pelbagai segi termasuk bilangan senator penyokong pembangkang yang semakin bertambah.

Dalam Dewan Negara sekarang terdapat lapan wakil pembangkang. Tiga daripada Pas, tiga PKR dan 2 DAP.

Sebelum Pilihan Raya Umum Ke-12, hanya dua wakil pembangkang yang menjadi anggota Dewan Negara. Dengan penambahan wakil pembangkang, tentu dapat diduga bahawa perbahasan Dewan Negara akan menjadi lebih rancak.

Apatah lagi dengan kehadiran tokoh seperti Syed Husin yang bukan sahaja terkenal petah bercakap tetapi juga pandai menyindir.

Sebelum dikenal sebagai seorang tokoh politik kepartian, Syed Husin juga masyhur sebagai seorang ahli akademik.

Menyedari “keistimewaan” Syed Husin itulah pantun di permulaan artikel ini saya ungkapkan dalam Dewan Negara pada Isnin lalu untuk mengalu-alukan kemasukan beliau sebagai Ahli Dewan Negara.

Semoga “api ilmu” akan menyala dalam Dewan Negara dan perbahasan yang bernas dan sihat akan mendapat ruang dan peluang yang sewajarnya demi ketinggian tamadun bangsa.

Senator Datuk Dr. Firdaus Abdullah adalah Pakar Rujuk di Akademi Pengajian Melayu, Universiti Malaya



Five Filters featured article: Chilcot Inquiry. Available tools: PDF Newspaper, Full Text RSS, Term Extraction.

Related posts:

  1. Abu Zahar angkat sumpah Yang Dipertua Dewan Negara Abu Zahar angkat sumpah Yang Dipertua Dewan Negara...
  2. Pelantikan YDP Dewan Negara baru, 26 April Pelantikan YDP Dewan Negara baru, 26 April ...
  3. Awasi pelampau politik yang bahayakan negara – Ezam Awasi pelampau politik yang bahayakan negara – Ezam...
  4. Kenapa Anwar keluar Dewan Rakyat, jawablah pendedahan Zahrain! Kenapa Anwar keluar Dewan Rakyat, jawablah pendedahan Zahrain!...
  5. Iktibar kekurangan Ahli Parlimen BN di Dewan Rakyat Iktibar kekurangan Ahli Parlimen BN di Dewan Rakyat...

Related posts brought to you by Yet Another Related Posts Plugin.

Tags: , , , , , , , , , , , , , , , , , , ,

Comments are closed.

SEO Powered by Platinum SEO from Techblissonline