Etnik Hmong dan nilai kemanusiaan

Etnik Hmong dan nilai kemanusiaan

JIKA pelarian Rohingya dipaksa oleh tentera Thailand kembali ke Myanmar seperti yang berlaku pada awal tahun lalu, nasib serupa turut menimpa pelarian etnik Hmong.

Thailand sememangnya diakui antara negara yang sangat tegas dalam isu yang membabitkan pelarian dari negara-negara berkonflik. Dalam kejadian di perbatasan Laos-Thailand yang mendapat perhatian antarabangsa itu, kira-kira 4,000 orang pelarian etnik Hmong dipaksa kembali ke Laos.

Mereka merupakan sebahagian daripada kira-kira 6,000 pelarian etnik Hmong yang tinggal di kem pelarian di wilayah Phetchabun dan Nong Khai, timur laut Thailand.

Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, Thailand semakin agresif menghantar etnik Hmong kembali ke Laos dalam apa yang dikatakan bagi memenuhi persetujuan antara kerajaan. Bagaimanapun, tindakan Thailand itu mendapat bantahan Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu untuk Pelarian (UNHCR).

Badan antarabangsa itu mendakwa etnik Hmong bukan kembali secara sukarela tetapi dipaksa meninggalkan kem pelarian masing-masing. UNHCR juga mendakwa mendapat maklumat daripada petugas kesihatan di kem tersebut bahawa pelarian itu akan ditindas dan dizalimi sekiranya pulang ke Laos. Alasannya kerana sejarah pembabitan etnik itu yang menyokong Amerika Syarikat (AS) ketika Perang Vietnam pada tahun 1960-an dan 1970-an.

Sejak itu, etnik Hmong tidak diiktiraf sebagai warganegara Laos. Tindakan Thailand menghantar pulang pelarian etnik Hmong juga dikatakan melanggar undang-undang antarabangsa, apatah lagi mereka sudah mendapat tawaran penempatan semula di negara ketiga.

Malah, negara-negara Barat seperti AS, Perancis, Kanada dan Australia juga telah menyatakan persetujuan untuk melindungi pelarian-pelarian itu. Menyelusuri sejarah, etnik Hmong sememangnya bukan berasal dari Laos atau Thailand, malah tidak juga dari mana-mana negara di rantau ini. Mereka merupakan keturunan asli dari suku Miao yang berasal dari pergunungan China Selatan.

Sewaktu kejatuhan sistem beraja di China, suku kaum ini bersama-sama suku Hunan, Hubei dan Henan mengambil pendirian untuk menentang kerajaan. Bagaimanapun, perpecahan politik menyebabkan etnik tersebut melarikan diri ke pergunungan Sichuan, Guinzhou dan Yunan. Etnik itu terus ditekan oleh kerajaan China memaksa mereka menyeberang sehingga ke Asia Tenggara terutama di Vietnam, Laos, Myanmar dan Thailand sejak abad ke-18.

Di Laos yang ketika itu dijajah oleh Perancis, sebilangan besar etnik Hmong juga menentang penjajah. Mereka mengambil pendekatan gerila dengan melancarkan serangan dari dalam hutan. Akhirnya, Perancis terpaksa memberikan autonomi kepada etnik Hmong untuk menjalankan pemerintahan dan menggerakkan ekonomi sendiri.

Bagaimanapun, selepas Perancis kalah kepada pemerintah komunis Laos pada Perang Rahsia 1973, status autonomi etnik Hmong itu tidak lagi terpakai. Sejak itu, etnik Hmong kembali menjadi pelarian dan menuju ke Thailand menerusi Sungai Mekong untuk mencari perlindungan dan mendapatkan suaka politik.

Kerajaan Thailand pula tidak pernah mengiktiraf etnik Hmong sebagai pelarian, sebaliknya menganggap mereka sebagai buruh asing yang cuba mendapatkan pekerjaan. Atas hakikat itu juga, Thailand tidak mahu bertanggungjawab untuk melindungi pelarian tersebut. Negara Gajah Putih itu juga menolak akses kepada UNHCR untuk membuat penilaian sama ada pelarian itu merupakan pelarian politik atau sebaliknya.

Ketika Barat dilihat lebih memberi perhatian kepada nasib pelarian etnik Hmong, negara-negara di rantau ini pula seolah-olah memandang sebelah mata. Isu pelarian etnik Hmong boleh dikatakan tidak pernah kedengaran dibincangkan dalam mana-mana persidangan Asean, meskipun ia telah berlaku sejak abad ke-18 lagi.

Sebagaimana tidak adanya kesepakatan yang tegas dalam melindungi pelarian Rohingya, begitu juga nasib yang menimpa pelarian etnik Hmong. Barangkali, pelarian etnik Hmong lebih bernasib malang kerana mereka tidak berasal dari mana-mana etnik di rantau ini.

Namun, itu bukanlah alasan untuk Asean mengambil mudah kerana sejarah telah membuktikan bagaimana keterlibatan mereka dalam konflik di rantau ini sehingga terpaksa menjadi pelarian terutama di Laos dan Thailand.

Jika tidak sekali pun, etnik Hmong itu tidak boleh sama sekali dibezakan dari sudut kemanusiaan yang perlu dilindungi dan dipastikan kesejahteraan hidup mereka.

Asean perlu secara kolektif menunjukkan kesungguhan melindungi nasib pelarian seperti Rohingya dan etnik Hmong seterusnya mengikis tanggapan bahawa rendahnya amalan hak asasi manusia di rantau ini.

Malaysia sendiri boleh memainkan peranan dengan memastikan pentas sidang Kemuncak Asean akan datang turut memasukkan isu pelarian etnik Hmong sebagai salah satu agenda.

Persidangan itu juga perlu memastikan sebarang dasar yang dibuat ke atas pelarian etnik Hmong tidak diputuskan secara bilateral antara Thailand dan Laos semata-mata. Sebaliknya, ia mestilah turut mengambil kira pandangan negara-negara anggota lain yang tidak mempunyai kepentingan antara kerajaan secara langsung.

Malaysia juga boleh memainkan peranan yang lebih berkesan dengan menarik perhatian badan-badan dunia ketika isu pelarian etnik Hmong itu kembali menjadi perhatian antarabangsa.

Cuma dalam membawa mesej kemanusiaan itu, suara Malaysia barangkali boleh diragui kerana tidak menyertai Konvensyen Pelarian 1951 atau Protokol 1997. Konvensyen itu membolehkan undang-undang negara menerima pelarian sekali gus memberikan definisi yang jelas terhadap kedudukan penduduk Rohingya di negara ini.

Sehingga kini, negara masih belum mempunyai polisi yang jelas tentang penduduk Rohingya sama ada mereka pendatang tanpa izin atau pelarian.

Malah, dokumen UNHCR yang diberikan kepada mereka juga kurang diakui sebagai dokumen sah di negara ini. Namun negara yang pastinya mempunyai justifikasi tersendiri berhubung pelarian Rohingya itu diakui dunia sebagai negara yang lebih berperikemanusiaan dalam memberikan perlindungan. Justeru, hakikat itu tidak seharusnya menghalang negara bekerjasama dengan badan antarabangsa terutama Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dalam isu pelarian etnik Hmong atas dasar kemanusiaan.



Five Filters featured article: Chilcot Inquiry. Available tools: PDF Newspaper, Full Text RSS, Term Extraction.

Related posts:

  1. Pilihan raya Kosovo: Etnik Albania dan Serbia bertempur Message from Five Filters: If you can, please donate to...
  2. Kematain keganasan etnik di Kyrgyzstan meningkat 41 orang Message from Five Filters: If you can, please donate to...
  3. Etnik Uighur kini sedang menghadapi pengusiran Etnik Uighur kini sedang menghadapi pengusiran PHNOM...
  4. Kyrgystan arah tembak pengganas etnik Kyrgystan arah tembak pengganas etnik BISHKEK 13...
  5. Bakiyev seru etnik Kurgyz, Uzbek berdamai Bakiyev seru etnik Kurgyz, Uzbek berdamai MINSK,...

Related posts brought to you by Yet Another Related Posts Plugin.

Tags: , , , , , , , , , , , , , , , , , , ,

Comments are closed.

SEO Powered by Platinum SEO from Techblissonline