Konflik selatan Thai perlu dipandang serius

Konflik selatan Thai perlu dipandang serius

BANGKOK 8 Dis. – Walaupun Malaysia menganggap konflik di selatan Thailand adalah masalah dalaman negara itu dan perlu diselesaikan dengan pendekatan mereka sendiri tetapi ia tidak boleh dipandang ringan kerana boleh membawa kepada isu keselamatan yang serius kepada negara.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, laporan yang menyatakan terdapat sekitar 10,000 militan di wilayah itu perlu diberikan perhatian serius dan ditangani dengan segera sebelum ia mengancam keselamatan Malaysia.

“Pembunuhan dan letupan bom terus berlaku dan sebab itu kita tidak boleh pandang ringan masalah itu. Masalah ini perlu ditangani dengan segera,” katanya kepada wartawan Malaysia yang membuat liputan lawatan rasminya ke Thailand di sini hari ini.

Beliau berkata, walaupun tidak nampak wujudnya pengaruh luar terhadap masalah militan di selatan Thailand setakat ini tetapi masalah itu tidak boleh dibenarkan terus berlarutan kerana ia akan membuka pintu kepada elemen luar itu untuk masuk.

Dalam pada itu, Perdana Menteri berkata, Malaysia yakin konflik di selatan Thailand mampu diselesaikan jika rakyat di wilayah itu menolak keganasan, bekerjasama dengan kerajaan negara itu serta terus setia kepada negara dan raja mereka.

Katanya, walaupun ia akan mengambil masa yang panjang tetapi perkembangan positif ke arah itu sudah dapat dilihat menerusi pelbagai usaha yang diambil kerajaan Thailand.

Menurutnya, Thailand telah mengambil langkah secara berperingkat-peringkat untuk meningkatkan keyakinan rakyat mereka termasuk menggantikan undang-undang tentera dengan Ordinan Darurat yang lebih longgar di tiga kawasan dan akan mewujudkan undang-undang bagi membolehkan pihak berkuasa di wilayah itu melapor terus ke peringkat nasional.

Selain itu, Thailand juga melantik pegawai dari kalangan mereka yang bermastautin di wilayah terbabit serta mengadakan pilihan raya bagi memilih pihak berkuasa tempatan.

“Sama ada ini dilihat sebagai ke arah autonomi atau desentralisasi, itu tidak penting. Yang penting, ia adalah hasrat kerajaan Thailand untuk mengenal pasti hasrat, keperluan dan aspirasi rakyatnya di selatan negara itu,” katanya.

Perdana Menteri berkata, kerajaan Thailand juga menyatakan kesanggupan untuk memenuhi hasrat rakyatnya di selatan negara itu asalkan ia munasabah dan tidak melanggar undang-undang termasuk pembelajaran bahasa ibunda, memperkenalkan kurikulum pendidikan Islam dan undang-undang syariah di mahkamah.

Mengenai dakwaan sesetengah pihak yang menyifatkan perkembangan di selatan Thailand sebagai perlahan, Najib berkata, perubahan yang diharapkan memang tidak akan berlaku dalam masa yang singkat tetapi apa yang penting, ada komitmen dan perancangan yang dapat diterima oleh rakyatnya.

“Ia adalah satu perjalanan. Tiada had waktu. Semuanya bergantung kepada kerajaan Thailand kerana mereka perlu tentukan apa yang terbaik untuk mereka,” katanya.

Sementara itu, Najib memberitahu, semua isu tertunggak antara kedua-dua negara yang dipersetujui di peringkat Menteri Luar perlu dimuktamadkan sebelum Rundingan Tahunan Ke-5 di Malaysia tahun depan.

Katanya, ia meliputi isu Perjanjian Menyeberangi Sempadan, Perjanjian Mengenai Belia dan Sukan, memorandum persefahaman (MoU) dalam bidang pengajian tinggi, MoU untuk memerangi penyeludupan manusia, kerangka kerjasama dalam kerjasama tenaga kerja dan juga transit barangan dan penumpang antara Thailand, Malaysia dan Singapura.

Turut dipersetujui, kata beliau, ialah untuk membawa lebih banyak pelaburan Thailand di Malaysia yang pada masa ini lebih memihak kepada Thailand.

“Bagi mencapai hasrat itu, sekumpulan pelabur Thailand akan dijemput untuk membuat lawatan dan mengenal pasti bidang yang boleh diterokai di Malaysia,” katanya.

Beliau berkata, integrasi Koridor Utara dengan selatan Thailand juga akan diperkukuhkan lagi dan ia meliputi usaha mewujudkan peluang pekerjaan, perdagangan dan pelaburan di kedua-dua wilayah serta pembangunan industri getah menggunakan teknologi moden.

Sementara itu, pada sidang akhbar bersama Abhisit selepas mesyuarat Rundingan Tahunan, Najib berkata, masalah dua kewarganegaraan juga akan ditangani antara kedua-dua negara menerusi penyelarasan data antara MyKad dan Kad Pintar Thailand.

Katanya, setakat ini, tiada data yang tepat mengenai jumlah rakyat kedua-dua negara yang mempunyai dua kerakyatan dan ia akan diselesaikan apabila maklumat dari sistem pengenalan diri kedua-dua negara dibandingkan.



This content has passed through fivefilters.org.

Related posts:

  1. Komitmen bantu selatan Thai Komitmen bantu selatan Thai APABILA pesawat...
  2. Najib mahu lihat sendiri keadaan selatan Thailand Najib mahu lihat sendiri keadaan selatan Thailand ...
  3. Swasta tawar gaji rendah dipandang serius Swasta tawar gaji rendah dipandang serius ROMPIN...
  4. Enjin F-5E TUDM dijual kepada syarikat di Amerika Selatan Enjin F-5E TUDM dijual kepada syarikat di Amerika...
  5. Majikan perlu pentingkan pekerja tempatan – PM Majikan perlu pentingkan pekerja tempatan – PM ...

Related posts brought to you by Yet Another Related Posts Plugin.

Tags: , , , , , , , , , , , , , , , , , , ,

Comments are closed.

SEO Powered by Platinum SEO from Techblissonline