Pastikan arahan Ahli Parlimen wajib hadir Dewan Rakyat dipatuhi
Pastikan arahan Ahli Parlimen wajib hadir Dewan Rakyat dipatuhi
ADALAH menjadi tanggungjawab setiap Ahli Parlimen hadir pada sesi Dewan Rakyat.
Sebagai pemimpin yang dipilih oleh rakyat dan berkhidmat untuk rakyat, Dewan Rakyat menjadi salah satu platform untuk mereka memperjuangkan isu-isu rakyat.
Justeru secara logiknya tidak perlu ada arahan atau peraturan untuk mewajibkan mereka melaksanakan tanggungjawab tersebut. Ini kerana setiap Ahli Parlimen mesti tahu bahawa mereka dipilih untuk berbuat demikian.
Ponteng semasa persidangan berlangsung bermakna mengabaikan amanah serta tanggungjawab yang diserahkan oleh rakyat. Ia sama sekali tidak patut berlaku. Perbuatan itu juga bertentangan dengan aku janji yang terpateri antara wakil rakyat, rakyat dan kerajaan.
Sebab itu dalam isu kehadiran Ahli Parlimen pada sidang Dewan Rakyat, tidak sepatutnya timbul peraturan atau arahan baru. Jadual persidangan bukan saja ditetapkan sejak awal tahun, malah menjadi rutin yang telah berlangsung sejak bertahun lamanya.
Itu bermakna, setiap Ahli Parlimen boleh merancang mesyuarat atau program yang perlu dihadirinya sepanjang persidangan berlangsung.
Mereka juga telah dimaklumkan susun atur rang undang-undang yang akan dibentangkan. Begitu juga bila rang undang-undang itu mesti dibahas dan diluluskan. Kesemuanya telah diatur. Tidak ada alasan untuk mana-mana wakil rakyat terutama yang mewakili kerajaan ponteng kerana menghadiri mesyuarat atau program luar.
Dan apabila diperkenalkan peraturan baru tidak membenarkan wakil rakyat sesuka hati bermesyuarat, menghadiri program atau ke luar negara semasa berlangsungnya persidangan, ia semestinya dilaksanakan secara serius.
Bukan seperti sudah terhantuk baru nak tengadah. Sebab trend semasa menunjukkan orang yang telah berkali-kali terhantuk, tengadah boleh terhantuk semula.
Bulan pertama peraturan pertama dikuatkuasakan, mereka mungkin akan akur tetapi tanpa pemantauan rapi, insiden 14 Disember boleh saja berulang.
Seelok mana pun peraturan yang diperkenalkan, jika penguatkuasaannya tidak dilakukan sepenuh hati tidak akan mendatangkan hasil yang diingini.
Dalam keadaan peraturan sedia ada pun tidak dipatuhi, peraturan baru mesti dipastikan keberkesanannya.
Lebih penting sebenarnya setiap Ahli Parlimen mesti sedar tanggungjawab masing-masing. Perbuatan memonteng sama seperti mensabotaj parti yang diwakili serta mengkhianati amanah yang sepatutnya dijaga selagi bergelar wakil rakyat.
Oleh itu, peraturan baru yang turut mengambil kira kehadiran Ahli Parlimen pada sidang Dewan Rakyat sebagai kriteria pencalonan semula pada pilihan raya akan datang tidak boleh dipermain-mainkan.
Rakyat semestinya tidak mahu wakil rakyat yang tuang kerja terus mewakili mereka.
Dan jangan pula kerana ia dijadikan kriteria, maka Ahli-ahli Parlimen berlumba-lumba memenuhkan dewan tetapi duduk kaku di tempat masing-masing.
Manakala yang mengambil bahagian bertanyakan soalan dan membahaskan rang undang-undang asyik-asyik muka yang sama.
Five Filters featured article: Chilcot Inquiry. Available tools: PDF Newspaper, Full Text RSS, Term Extraction.
Related posts:
- Iktibar kekurangan Ahli Parlimen BN di Dewan Rakyat Iktibar kekurangan Ahli Parlimen BN di Dewan Rakyat...
- Tindakan terhadap ahli parlimen BN ponteng Datuk Seri Najib Razak berkata kegagalan ramai ahli parlimen BN...
- Tidak setuju kehadiran jadi KPI Ahli Parlimen Tidak setuju kehadiran jadi KPI Ahli Parlimen ...
- AHLI PARLIMEN BIADAP AHLI PARLIMEN BIADAP MENGIKUTI perbincangan di Parlimen...
- Patuhi titah Tuanku elak bertelagah dalam Dewan Rakyat Patuhi titah Tuanku elak bertelagah dalam Dewan Rakyat...
Related posts brought to you by Yet Another Related Posts Plugin.

