Suri rumah tertipu iklan kerja

KUANTAN: Seorang suri rumah yang mahu memperoleh pendapatan tambahan dengan melakukan kerja sambilan di rumah, mendapati dirinya tertipu dengan iklan palsu disiarkan di dalam akhbar.
Wanita itu yang hanya mahu dikenali sebagai Aznah, 45, dari Perkampungan Seri Mahkota Aman dekat sini, berkata dia tertarik dengan iklan yang menawarkan pendapatan sehingga RM300 seminggu dengan hanya mengisi dan membungkus gula pasir.
“Iklan syarikat terbabit meminta orang ramai berminat melakukan kerja mengisi dan membungkus gula pasir mengirim alamat rumah melalui khidmat pesanan ringkas (SMS) kepada individu seperti dinyatakan untuk maklumat lanjut. Beberapa hari kemudian, saya menerima maklumat mengenai kerja berkenaan berserta dengan borang permohonan,” katanya ketika hadir ke pejabat Berita Harian di sini, kelmarin.
Ibu kepada empat anak itu berkata, berdasarkan maklumat diberikan, syarikat terbabit meminta beliau membuat bayaran RM70 sebagai cagaran dan mengisi borang berserta nombor akaun bank.
“Selepas mendepositkan wang ke akaun individu yang dinyatakan pada 30 Januari lalu, saya turut menghantar borang permohonan ke syarikat terbabit yang beralamat di Bandar Baru Uda, Johor Bahru, Johor,” katanya.
Aznah berkata, dia menyedari tertipu kerana sehingga kini gula pasir dijanjikan 5 hingga 7 Februari lalu tidak tiba dan individu terbabit gagal dihubungi.
Aznah berkata, beliau sudah membuat laporan polis di Balai Polis Jaya Gading.
- BERITA HARIAN
Related posts:
- Uji keberkesanan kerja dari rumah Kementerian Kerjaraya muncul sebagai kementerian pertama melaksanakan Program Bekerja Dari...
- Kerja dari rumah akan jadi trend Kerja dari rumah akan jadi trend ...
- MPS perjelas isu iklan jawatan kosong Saya dengan hormatnya merujuk kepada laporan ruangan ini bertajuk ‘Pemohon...
- Kawal iklan luar demi syarikat iklan tempatan Message from Five Filters: If you can, please donate to...
- Kalendar Aktiviti Pejabat Tenaga Kerja (PTK) Februari 2010 Temuduga Terbuka di PTK Shah AlamTarikh :4.2.2010Masa : 9.00 pagi...
Related posts brought to you by Yet Another Related Posts Plugin.

